Selamat Datang ke Blog UMNO Bahagian Segambut

Assalamualaikum

Kelahiran Blog ini ialah untuk membolehkan ahli-ahli UMNO Bahagian Segambut menimba dan memberi pandangan, kritikan serta cadangan membina demi mempertingkatkan dan memperkasakan UMNO di Segambut. Perbezaan pendapat sudah pasti akan wujud namun diharapkan boleh kita menfaatkan bersama dengan menghadkan perbezaan itu dalam bentuk professionalisme dan tidak dalam bentuk peribadi.

22 April 2010

Kebenaran ???

Benarkah artikel ini ? Apakah penulis ini seorang Islam, dan jika dia Islam, sengaja kah dia berdusta ? Fikirkan lah ... terutama pemimpin bangsa...yang baik dijadikan teladan..yang buruk..Wallahu Alam...





"......Sewaktu kami sekeluarga berkunjung ke Kota Bharu Kelantan pada cuti sekolah bulan lepas, kami sekeluarga sarapan pagi di gerai berhampiran hotel penginapan..

Kami sekeluarga terkejut dan rasa terharu bila kami dapati MB Kelantan tengah sarapan pagi di gerai tersebut berseorangan tanpa pengawal peribadi dan pegawai kerajaan Kelantan..

Malah beliau terlebih dahulu menegur dan menberi salam kepada kami sekeluarga serta mengajak kami sekeluarga makan bersama-sama dimeja beliau sambil berborak menanyakan dari mana, bagaimana perasaan kami bila berada di Kelantan dan banyak lagi..

Ketika berborak, beliau tiada sedikit pun menyentuh soal politik atau cerita perkembangan terkini di Negeri kami (Negeri 9).. Malah beliau berterima kasih kepada kami kerana sudi datang dan lihat sendiri keadaan di Kelantan daripada membaca di akhbar atau melihat di TV..

Malah kami sekeluarga rasa lebih terharu bila beliau bayar kami sekeluarga makan pada pagi itu..

* MB Negeri saya sendiri pun susah nak jumpa.. kecuali ada majlis rasmi yang ada publisiti sahaja...."


http://3.bp.blogspot.com/_RwuZC2IMZxc/S5zZ_3MFCdI/AAAAAAAACOk/lMx0Uf0RldM/s320/tgna008.jpg

11 April 2010

Perkasa Persoal Jawatankuasa Antara-Agama (Interfaith)

Selepas pengumuman kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Perundingan Agama (Inter-faith Council) yang dipengerusikan oleh Hjh Illani Isahak, Perkasa telah meminta Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan mengeluarkan satu pengesahan atau pengiktirafan keatas penubuhan Jawatankuasa tersebut.
Munkin bagus juga tindakan Perkasa sebegini sebab masih banyak perkara yang samar-samar didalam bidang tugas atau bidang kuasa Jawatankuasa ini. Ada kah ianya sampai ketahap boleh mengawal-selia atau memberi kata putus terhadap sesuatu isu termasuk hukum-hukum Islam apabila ianya melibatkan kaum bukan Islam ?
Adakah ianya juga boleh mengambil peranan sebagai NGO yang boleh memberi tekanan kepada kerajaan dalam memperjuangkan hak-hak bukan Islam ?
Bagaimana kefahaman mereka terhadap Perlembagaan yang menetapkan Islam sebagai agama resmi negara kita ?
Apakah mereka berhak mempersoalkan tindakan kerajaan selama ini membelanjakan beratus juta ringgit setiap tahun terhadap pembangunan Islam sedangkan dibawah Perlembagaan, sebagai rakyat, mereka berhak mendapat bantuan dari kerajaan dalam kebebasan beragama, termasuk pembinaan rumah ibadat untuk mereka !!
Mudah mudahan perjuangan Perkasa ini adalah ikhlas dan bukan berbau politik, dan semoga diberkati Allah SWT. Amiiin.

10 April 2010

UMNO dan Mahkamah

Bulan lepas menyaksikan satu kes mahkamah yang dibawa oleh seorang bekas ahli UMNO Tanah Merah mengenai kesahihan perlantikan Ketua Bahagian dalam pemilihan, ditolak oleh Mahkamah Tinggi. Diturunkan berikut tulisan YBhg Datuk Mohd Hafarizam, Penasihat Undang-Undang UMNO Malaysia, untuk pengetahuan dan panduan semua ahli-ahli UMNO Segambut.

".....Semalam (28/3/2010), Mahkamah Tinggi Malaya di Kota Bahru telah membenarkan permohonan anakguam-anakguam saya iaitu YBhg Dato' Ikmal Hisham Abdul Aziz (Ketua Bahagian UMNO Tanah Merah) dan Ustaz Baharudin bin Yusuf (Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tanah Merah) mengenepikan perintah injunksi yang diperolehi secara ex-parte (satu pihak, dalam bahasa mudah) oleh bekas ahli UMNO Tanah Merah, Encik Amran bin Rahman ("Plaintif") bertarikh 16/2/2010 yang bertujuan, inter-alia, untuk menghalang apajua transaksi berkenaan bangunan UMNO Tanah Merah dan akaun-akaun bank UMNO Tanah Merah disebabkan pembatalan pendaftaran dua (2) cawangan iaitu Banggol dan Pondok Lama di dalam UMNO Bahagian Tanah Merah. Mahkamah juga telah menolak Saman Pemula Plaintif (Kandungan 1) atas alasan-alasan yang sama sewaktu membenarkan pengenepian perintah injunksi ex-parte.

Alasan-alasan yang didasari oleh Mahkamah Tinggi sewaktu mengenepikan perintah injunksi tersebut adalah: (1) Plaintif tidak ada 'locus standi' oleh kerana beliau bukan lagi ahli UMNO berkuatkuasa 10/2/2010, iaitu tarikh beliau memfailkan tindakan di Mahkamah. Ini adalah kerana, mengikut Fasal 20.7 Perlembagaan UMNO, mana-mana ahli UMNO yang membawa perkara parti ke Mahkamah akan gugur dengan sendirinya keahlian. Tarikh 10/2/2010 adalah tarikh Plaintif memfailkan tindakannya di Mahkamh, justeru itu, dengan izin 'by operation of law', Plaintif gugur secara otomatik keahliannya; (2) Seksyen 18C Akta Pertubuhan, 1966 melarang Mahkamah untuk mendengar, meneliti, mengkaji dsb apajua keputusan atau perkara dalaman parti politik. Ini, di dalam bahasa undang-undang, adalah 'ouster clause' yang membuatkan Mahkamah tidak ada bidangkuasa untuk mendengar tuntutan atau tindakan itu. Di dalam kes ini, Plaintif mempertikaikan kesahihan jawatan Dato' Ikmal dan timbalannya kerana kononnya cawangan-cawanagan Banggol dan Pondok Lama telah dibatalkan pendaftarannya oleh Pendaftar Pertubuhan berkuatkuasa pada 10/11/2009. Tetapi, apa yang tidak dimaklumkan kepada Mahkamah oleh Plaintif ialah pada 17/2/2010, cawangan-cawangan tersebut telah ditarik-balik pembatalannya oleh YB Menteri Dalam Negeri, justeru itu ianya tidak pernah terbatal sejak mulanya. Apapun, ini adalah perkara dalaman parti dan Mahkamah tidak patut diheret di dalam permasalahan parti politik; dan (3) Plaintif telah tidak mendedahkan fakta-fakta sepenuhnya sewaktu membuat permohonan injunksi pada 16/2/2010 lalu & laporan polis yang dibuatnya sahaja adalah tidak memadai.

Diatas adalah ringkasan keputusan Mahkamah tetapi apa yang saya mahu tekankan disini adalah, ahli-ahli UMNO dirayu agar tidak membawa perkara parti ke Mahkamah. Selesaikanlah di peringkat itu sendiri. Ibu Pejabat UMNO senantiasa bersedia untuk menelitinya. Samada keputusan memihak kepada pengadu atau tidak, itu perkara kedua. Janganlah digembar-gembur urusan dalaman parti UMNO kepada orang luar, biarlah UMNO dilihat utuh dan kuat di kacamata rakyat. Setiap parti, organisasi, persatuan dsb sudah tentunya ada masalah & boleh diselesaikan jika pihak-pihak mengikut saluran yang telah ditentukan. Kedua, undang-undang atau Perlembagaan UMNO adalah ketat dan tidak mengenal siapa, justeru itu fikirkanlah masak-masak sebelum membawa hal-ehwal parti ke Mahkamah. Jadikanlah kes UMNO Bahagian Tanah Merah ini sebagai pengajaran dan sempadan didalam kita berjuang untuk bangsa, agama & negara.

Sekian, terima kasih...."

09 April 2010

Betul ke ada "Imam Jahat"

Ketua Pengarah JAWI YBhg Dato Che Mat, dalam satu perbincangan baru-baru ini telah mendedahkan adanya Imam Imam yang 'cuai' atau 'tidak bertanggungjawab', diantara para pegawai JAWI bertaraf Imam yang dihantar bertugas di masjid-masjid dalam Wilayah Persekutuan. Imam Imam tersebut yang beliau kategorikan 'Imam Jahat' walaupun kecil jumlah nya, namun beliau melahirkan rasa kesal betapa para-para graduan yang berilmu, lebih lebih lagi dalam bidang agama, ada kalanya terlalu mementingkan pulangan material daripada mencurahkan bakti kepada masyarakat terutama kepada umat islam.

Beliau seterusnya berkata, pegawai tersebut (Imam) sewaktu ditemuduga mengakui sanggup segala-gala nya namun apabila berkhidmat di masjid-masjid telah 'terbuka mata' kepada jawatan lain yang lebih nilai gaji nya dan mereka mula lah mengubah perangai. Sehingga ada yang sanggup mengubah bacaan Fatihahnya supaya berbunyi sumbang (yang diwaktu temuduga amat baik), dengan harapan beliau digugurkan dari jawatan Imam tersebut. Ada juga yang tidak mengikut peraturan kerja sehingga menimbulkan masalah dengan masyarakat setempat atau AJK masjid berkenaan.

MasyaAllah !!! Benarkah ini wujud di tanah air tercinta ini... Tak kan lah Ketua Pengarah JAWI nak berbohong kan ?

06 April 2010

Benar kah perlakuan Perkasa menghina melayu ?

6 APRIL — Saya gembira membaca laporan yang dikeluarkan oleh Majlis Penasihat Ekonomi Negara yang meggariskan Model Ekonomi Baru (MEB) buat Malaysia. Secara umumnya dokumen tersebut membuktikan betapa pemerintah kita mula sedar bahawa satu-satunya cara untuk membawa pembangunan pesat di negara kita ialah dengan memperteguh pengamalan sistem ekonomi liberal.

Bab 2 dokumen tersebut dengan tegas menyatakan bahawa negara kini telah terjatuh dalam perangkap pendapatan pertengahan (middle income trap). Perangkap ini bermaksud bahawa kita sukar untuk bersaing dengan negara-negara yang menawarkan kos operasi lebih rendah tetapi pada waktu yang sama juga tidak dapat menyaingi negara-negara maju yang mempunyai kebolehan teknologi lebih tinggi. Akibatnya kita “terperangkap” di tengah-tengah.

Kelemahan-kelemahan yang dihadapi oleh negara juga dibincangkan dengan terbuka dalam Bab 2 dokumen tersebut. Dalam bab-bab selepas itu pula, terutamanya dalam Bab 6, dinyatakan beberapa cadangan untuk memastikan negara boleh keluar daripada perangkap pendapatan pertengahan dan terus mara ke hadapan. Hampir semua cadangan yang dikemukakan menjadikan sistem ekonomi kapitalisme pasaran bebas sebagai teras.

Contohnya, MEB mengatakan bahawa sektor swasta amat penting untuk memacu ekonomi negara. Untuk membolehkan sektor swasta memainkan peranan dengan efektif, maka dokumen itu mencadangkan agar dihapuskan pelbagai subsidi, kawalan harga dan insentif-insentif yang mengganggu perjalanan sistem pasaran bebas. Penghapusan semua ini akan membawa negara kepada satu sistem ekonomi yang lebih bebas dan berdayasaing.

Saya tidak mengatakan dokumen MEB ini adalah satu cadangan yang sempurna. Masih ada ketempangan di beberapa tempat. Tetapi saya tidak berhajat untuk membicarakan dengan terlalu mendalam mengenai MEB dalam dalam artikel ini. Insha-Allah saya akan cuba menulis lebih lanjut mengenai MEB dalam jangka masa terdekat.

Dalam artikel ini, saya hanya mahu memperakui bahawa dokumen MEB telah menggagaskan satu permulaan yang baik untuk proses transformasi negara. Kelihatannya penggubal dasar negara menerima juga bahawa sistem kapitalisme pasaran bebas sahajalah yang boleh menjamin Malaysia akan menjadi sebuah negara maju. Syukur alhamdulillah.

Dalam kesempatan ini saya sebenarnya mahu mengulas mengenai tindakan pihak-pihak seperti Perkasa dan Datuk Ibrahim Ali yang seolah-olah sengaja mahu menggagalkan usaha Datuk Seri Najib Razak untuk mentransformasi negara.

Saya amat marah dengan mereka ini kerana mereka berselindung dengan nama Melayu untuk menghina dan memperkecil-kecilkan orang Melayu. Dengan bertopengkan nama Melayu, mereka bersuka ria menuduh orang Melayu tidak boleh bersaing dan tidak boleh maju jika tidak dihulurkan tongkat seumur hidup. Lemah sungguh Melayu di mata mereka!

Tatkala Najib begitu yakin dengan kebolehan bangsa Melayu untuk bersaing di arena global, tiba-tiba ada pihak yang memperlekeh kebolehan orang Melayu untuk berjaya dengan usaha sendiri.

Tatkala Najib mengambil langkah berani untuk mengurangkan kebergantungan orang Melayu terhadap bantuan dan subsidi kerajaan, ada pula orang Melayu yang bersungguh-sungguh mahu menggagalkan usaha-usaha pemimpin parti Melayu sendiri.

Kenapa kita terpengaruh dengan tohmahan bahawa orang Melayu tidak akan berjaya jika tidak dilindungi oleh kerajaan? Kenapa tidak yakin dengan kemampuan bangsa kita sendiri? Orang Melayu tidak diciptakan bodoh atau cacat sehingga perlukan tongkat subsidi dan hak istimewa seumur hidup. Tidak sama sekali!

Hakikatnya walaupun pemuka-pemuka ini berbangsa Melayu, tindakan mereka datangnya daripada satu punca sahaja, iaitu perangai memandang rendah kebolehan bangsa Melayu.

Benarlah kata Tun Mahathir Mohamad bahawa Melayu mudah lupa. Mungkin mereka sudah terlupa bahawa pemerintahan Melayu yang amat berjaya pernah wujud di rantau ini ratusan tahun dahulu.

Hakikatnya bangsa Melayu adalah satu bangsa yang boleh berjaya seperti mana-mana bangsa lain di muka bumi. Meragui kebolehan bangsa Melayu adalah sama seperti menghina dan merendah-rendahkan kebolehan bangsa Melayu.

Banyak tindakan-tindakan Najib yang menunjukkan beliau kini yakin dengan kebolehan orang Melayu untuk bersaing dalam pasaran terbuka. Bukan sahaja bersaing, tetapi Melayu boleh berjaya dalam persaingan itu.

Contohnya, beliau telah meliberalisasikan sebilangan sub-sektor perkhidmatan kepada pasaran bebas, menjemput pemodal asing melabur di negara kita, menurunkan kadar cukai, cuba mereformasi sistem percukaian dan berusaha mengurangkan kebergantungan orang Melayu terhadap subsidi.

Semua ini adalah langkah-langkah baik menuju ke arah sistem ekonomi liberal berteraskan pasaran bebas. Sistem pasaran bebas amat diperlukan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju yang rakyatnya berpendapatan tinggi.

Lawan kepada sistem ekonomi liberal pasaran bebas ialah sistem ekonomi terkawal. Contoh paling senang sistem ekonomi terkawal ialah sistem komunis atau sosialis. Kita semua tahu bahana kemiskinan yang dibawa oleh sistem komunis dan sosialis. Melayu tidak memerlukan ekonomi terkawal seperti komunisme atau sosialisme.

Sebagai pemimpin yang telah memulakan langkah pendekar untuk mentransformasi nasib rakyat termasuklah bangsa Melayu di tanah air ini, Najib dan para pemimpin negara perlu terus iltizam membangunkan ekonomi negara supaya menjadi lebih terbuka.

Model Ekonomi Baru harus teguh menjadikan sistem pasaran bebas sebagai terasnya, dan berusaha menghilangkan mentaliti subsidi daripada pola pemikiran orang Melayu.

Orang Melayu perlu berhenti menghina dan memperlekeh kebolehan bangsa sendiri. Orang Melayu perlu menolak mana-mana individu atau pertubuhan yang mengatakan bahawa Melayu terus perlukan perlindungan kerajaan. Mereka itu adalah Melayu yang tidak yakin dengan kebolehan bangsa sendiri. Jangan kita percaya jika individu atau pertubuhan itu menyatakan mereka mahu “melindungi” bangsa Melayu. Sikap tidak yakin mereka kepada kebolehan Melayu sebenarnya adalah satu penghinaan kepada orang Melayu.

Melayu boleh bersaing. Melayu boleh berjaya. Jangan biarkan pemuka-pemuka itu terus menghina bangsa Melayu!

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

* Artikel ini dipetik dari Akhbar Digital Malaysian Insider untuk renungan kita bersama.

05 April 2010

Juara Rakyat - Bulan Agensi Kerajaan - MARCH 2010







UMNO Bahagian Segambut telah dengan jayanya mengadakan program Juara Rakyat - Bulan Agensi Kerajaan pada 04 April 2010 di Dewan Sivik Taman Sejahtera mulai jam 08.30 pagi hingga jam 5.00 petang. Program ini telah di koordinasikan oleh Puteri UMNO Bahagian Segambut dibawah kepimpinan Cik Huzry Fionawati besama AJK Puteri Bahagian. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YAB Dato Seri Mohd Ali Rustam, Ketua Menteri Melaka merangkap Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia. YAB Dato Seri Mohd Ali telah sudi melawat ketapak pamiran dan juga menjamu selera 'bersila' bersama-sama rakyat tempatan.
Beberapa acara telah diadakan termasuk, tarian 1 Malaysia, pertandingan memasak Burger, pertanding 'Shuffle', pertandingan bercerita kanak-kanak, pameran agensi-agensi kerajaan dan pihak swasta. Program telah dibanjiri oleh lebih dari 2,000 orang pengunjung dari masyarakat sekitar Taman Sejahtera dan juga seluruh Segambut. Sokongan yang diberi oleh agensi-agensi kerajaan seperti PDRM, BOMBA, Pendaftaran Negara, Suruhanjaya Pilihan Raya, Jabatan Penerangan, KEMAS, RELA, LHDN, Jabatan Kesihatan, LPPKN,AADK,GIAT MARA DAN DBKL cawangan Segambut amat lah dihargai. Pihak swasta juga telah memberi sokongan dengan kehadiran Lembaga Tabung Haji, Maybank, Cyber Security,dan lain lain. Disamping itu sokongan dan kehadiran wakil-wakil komponen BN Segambut dari PGRM, MCA, MIC, PPP, IPF juga amat memberangsangkan.
Program telah berakhir sekitar jam 5.00 petang dan keseluruhannya telah berjaya mencapai objektifnya iaitu mendekatkan rakyat kepada kepimpinan negara melalui UMNO. Rata rata komen memberi kepujian akan keberkesanan program tersebut kepada masyarakat setempat terhadap fungsi dan peranan kerajaan dalam membela kehidupan rakyat memalui agensi-agensi kerajaan yang ada.